Faktor Yang Mengalihkan Keluk Penawaran Penawaran (ekonomi)

Harga sesuatu barangan dan perkhidmatan mempengaruhi kuantiti ditawar sesuatu barangan dan perkhidmatan. Perubahan ini digambarkan dengan pergerakan sepanjang keluk penawaran. Namun keluk penawaran boleh beralih ke kiri atau ke kanan disebabkan perubahan dalam penawaran yang dipengaruhi berberapa faktor. Peningkatan penawaran ditunjukkan dengan peralihan ke kanan keluk penawaran manakala pengurangan penawaran ditunjukkan dengan peralihan ke kiri. Peralihan keluk penawaran akan menunjukkan perubahan dalam kuantiti ditawar pada tingkat harga yang sama.

Faktor yang mengalihkan keluk penawaran adalah:

Harga Barang Lain

Barang lain terdiri daripada:

1. Penawaran Pesaing

Barang pesaing adalah barangan yang menggunakan input yang sama dengan sesuatu barang lain dan pengeluarannya boleh saling digantikan dan tidak memerlukan perubahan yang besar dalam proses pengeluaran. Kejatuhan harga barang pesaing  sesuatu barangan menaikkan penawaran barang tersebut (keluk penawaran beralih ke kanan) dan penurunan harga barang pesaing sesuatu barang menurunkan penawaran sesuatu barangan (keluk penawaran beralih ke kiri). Cth: Kenaikan harga getah menyebabkan pengeluar menukarkan penanaman kelapa sawit kepada getah. Kuantiti ditawar getah meningkat manakala kuantiti ditawar sawit berkurang.

2. Barang Penawaran Bersama

Terdapat barangan yang mempunyai produk sampingan penawaran produk sampingan itu bergantung kepada produk lain. Cth: Kenaikan harga petroleum meningkatkan pengeluaran petroleum, penawaran produk sampingan petroleum seperti tar dan diesel turun meningkat.

Perubahan Kos Input

Kenaikan kos input meningkatkan kos pengeluaran dan menurunkan margin keuntungan. Pengeluaran berkurang (keluk penawaran beralih ke kiri) walaupun harga tidak berubah

Penurunan kos input mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan margin keuntungan. Pengeluaran meningkat (keluk penawaran beralih ke kanan) walaupun harga tidak berubah.

Teknologi Pengeluaran

Peningkatan teknologi meningkatkan daya pengeluaran yang membolehkan pengeluaran secara besar-besaran seterusnya mengurangkan kos purata pengeluaran yang meningkatkan margin keuntungan. Penawaran meningkat (keluk penawaran beralih ke kanan).

Dasar Kerajaan

Kerajaan boleh menggubal dasar yang mempengaruhi pengeluaran seperti cukai dan subsidi. Cth: Memberikan subsidi kepada petani bagi meningkatkan pengeluaran padi (keluk penawaran beralih ke kanan).

Bilangan Pengeluar

Untung lebih oleh pengeluar sedia ada akan menarik pengeluar baharu masuk dalam pasaran meningkatkan pengeluaran (keluk penawaran beralih ke kanan). Kenaikan kos dan kerugian pula memaksa pengeluar sedia ada keluar dari pasaran mengurangkan pengeluaran (keluk penawaran beralih ke kiri).